Events Calendar

Download as iCal file
Ramadhan Berkat: Inisiatif Ramadan FSKTM 2023
Tuesday 11 April 2023, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1328
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
RB.jpg
Bulan Ramadan kembali menyinari umat Islam dengan berkat dan rahmat. Momen suci ini mengajak kita berkongsi kasih. Ia menuntut kita menyemai sifat ikram (memuliakan) sesama kita, terutama bagi yang kurang mampu.
 
Program Jejak Rahmah: Kebajikan Terpancar, Keindahan Tersinar
 
RB1 RB2
 
Meraikan semangat bulan mulia ini, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), bekerjasama dengan Persatuan Teknologi Maklulmat (PERTEKMA), FSKTM, melancarkan Program Jejak Rahmah FSKTM 2023. Siri pertama program ini diadakan pada 14 Mac 2023 di Kampung Asajaya Ulu, Kota Samarahan. Sumbangan berupa pek makanan asas dan telah disampaikan kepada 15 keluarga yang memerlukan.
 
Siri kedua pula telah berlangsung pada 6 April 2023 di Masjd Darus Salam, Kampung Rampangi Fasa 1, Kuching. Sebanyak 10 pek makanan asas telah diagihkan kepada keluarga yang memerlukan. Sebagai penutup tirai program Jejak Rahmah untuk bulan Ramadan yang mulia ini, siri ketiga telah diadakan pada 13 April 2023 di Masjid Darul Ibadah, Kampung Semariang Lama.
 
Seramai 10 keluarga yang layak telah menerima sumbangan pek makanan asas yang disediakan. Kesemua program telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan JK Pengurusan Masjid di kampung yang terlibat.
 
Semarak Ramadan Bersama Warga FSKTM
 
RB3
 
FSKTM turut mengadakan program Semarak Ramadan pada 24 Mac 2023. Acara ini melibatkan pemberian sumbangan makanan dalam bentuk paket berbuka puasa kepada warga pelajar FSKTM. Acara yang berlangsung di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS, dihadiri oleh Dekan FSKTM, Prof. Madya Dr Kartinah Zen serta warga kerja FSKTM dan PERTEKMA.

Program ini lebih bermakna apabila majlis iftar telah diadakan bersama warga staf dan pelajar. Melalui program ini mereka dapat berkongsi pengalaman dalam suasana santai penuh meriah.
 
MyRamadan bersama HIKAM: Kolaborasi yang Menginspirasi
 
RB4
 
Program MyRamadan bersama NGO Himpunan Kemajuan Muslim Sarawak (HIKAM) telah diadakan pada 19 Mac 2023. Dalam agenda pertama, kursus Induksi telah diadakan di Sabtuyah Homestay, Kampung Pasir Pandak, Santubong. Kursus bertujuan mempersiapkan sukarelawan pelajar FSKTM menjelang program MyRamadan 2023 pada 7-16 April 2023. Aktiviti lain melibatkan pembungkusan kotak pek makanan MyRamadan pada 25 Mac 2023 dan pengagihan kotak makanan MyRamadan ke kampung-kampung sekitar Daerah Kuching dan Kota Samarahan pada 8 April 2023.
 
Program Semanis Kurma: Manisnya Memberi dan Menerima
 
RB5  RB6
 
PERTEKMA (Persatuan Teknologi Maklumat) FSKTM yang terdiri daripada kalangan pelajar FSKTM telah berkongsi rezeki dengan menganjurkan Program Semanis Kurma pada 3 April 2023.
 
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FSKTM, Dr. Yanti Rosmunie Bujang bersama dengan pensyarah Encik Abdul Rahman dan Puan Rosita telah membantu PERTEKMA menyedia dan mengagihkan 100 pek kurma kepada pelajar UNIMAS di Lobi FSKTM. Program ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar berkongsi rezeki dan juga ia dapat mempererat hubungan antara pelajar dan staf fakulti, serta memupuk sifat kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan komuniti universiti.
 
Program ini juga merupakan usaha FSKTM menjalankan tanggung jawab korporat fakulti terhadap pembangunan sosial pelajar serta masyarakat sekitar.
Melalui pelbagai inisiatif Ramadan, FSKTM terus mengorak langkah menjadi ejen perubahan sosial dalam kalangan masyarakat setempat.
 
Artikel  Oleh : Hamizan Sharbini
Foto oleh : FB Fakulti & PERTEKMA
 
Attachment(s):
 
 
Demo