Events Calendar

Kota Samarahan, 14 Jun 2022 - Yayasan Bank Rakyat telah berbesar hati untuk memberikan Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada pelajar IPT yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Simbolik penyerahan Bantuan Awal Pengajian melibatkan seramai sepuluh orang wakil pelajar (10) dengan menerima surat tawaran BAP daripada Yayasan Bank Rakyat dan mock cheque berjumlah RM80,000.00 telah diserahkan oleh Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin kepada Naib Canselor mewakili Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, pagi tadi bertempat di DeTAR PUTRA UNIMAS.
Bantuan Awal Pengajian merupakan bantuan pembelajaran segera yang diberikan kepada pelajar yang telah mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi dengan bantuan kewangan awalan sebanyak RM1,000.00.
Antara kriteria penerima BAP ialah penerima bantuan adalah pelajar dari semester 1 hingga 3 sahaja, wargenegara Malaysia, terbuka kepada Bumiputera dan pendapatan isi rumah kurang dari RM3,000.00 atau keluarga tidak berkemampuan.
Inisiatif bantuan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2017 dan sehingga kini telah membantu seramai 4,413 pelajar daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Objektif BAP adalah membantu pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan terutamanya dikalangan B40 serta memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk meningkatkan sosioekonomi mereka.
Bantuan permulaan ini diharap dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa yang panjang.
Misi membantu pelajar dari keluarga yang kurang bermampuan ini terutama bagi masyarakat di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, diharapkan dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 serta mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana bagi meneruskan pengajian sedia ada.