Events Calendar
Kota Samarahan, 19 Februari 2022: Seramai 84 orang pelatih telah ditauliahkan sebagai Pegawai Kor SUKSIS UNIMAS setelah berjaya menjalani latihan asas sukarelawan simpanan polis siswa/siswi (kor SUKSIS) selama tiga tahun dengan mengikuti silibus yang ditetapkan bagi pengambilan sesi pengajian 2017/2020 dan sesi pengajian 2018/2021.
Majlis penyampaian pelantikan Pegawai Kor Suksis UNIMAS telah disempurnakan oleh YDH DCP Dato Mancha anak Ata, Timbalan Pesuruhanjaya Polis Kontinjen Sarawak bertempat di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA UNIMAS, pagi tadi.
Silibus latihan Kor SUKSIS merangkumi modul latihan kawad, modul latihan senjata, modul kursus etika dan pengurusan integriti, modul kursus asas pasukan gerakan am (PGA), modul kursus asas pertolongan cemas dan menyelamat, modul program khidmat masyarakat, modul seni mempertahankan diri dan modul latihan jasmani.
Matlamat utama penubuhan Kor SUKSIS adalah sebagai pasukan sukarelawan Polis DiRaja Malaysia di Universiti Awam (UA) dalam usaha membentuk dan melahirkan modal insan berkualiti bagi menjadi pemimpin generasi pelapis di masa hadapan.
Sehingga kini, terdapat sembilan belas UA induk dan tiga belas buah cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mempunyai kor SUKSIS dengan jumlah keanggotaan seramai 3,102 orang.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Komandan Kor SUKSIS UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata bin Rasit, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, SAC Dato’ Nurulhuda Mohd Salleh.