Events Calendar
Kota Samarahan, 28 April 2016 – Pusat Khidmat Maklumat Akademik (PKMA) dengan kerjasama Penerbit UNIMAS telah mengadakan Program Cinta Ilmu sempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia peringkat UNIMAS 2016. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Kadim Suaidi
Semenjak tahun 1996 lagi Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan tarikh 23-30 April setiap tahun sebagai Hari Buku dan Hakcipta Sedunia (World Book and Copyrights Day). Saban tahun lebih daripada 100 buah negara meraikan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan promosi galakan membaca, kegiatan penerbitan dan perbukuan serta program/ kempen perlindungan harta intelek melalui hak cipta.
UNIMAS tidak ketinggalan dalam meraikan pelbagai aktiviti menarik yang telah dirangka sepanjang tahun untuk menyemarakkan amalan membaca dalam kalangan warga. Selain itu juga UNIMAS menyahut Kempen Jom Baca Bersama 10 minit yang telah dijalankan di seluruh Negara.
Antara objektif program tersebut adalah untuk Menyemarak dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan warga UNIMAS khasnya dan masyarakat amnya serta mewujudkan kesedaran dan keperihatinan masyarakat akan adanya Hari Buku dan Hakcipta Sedunia. Selain itu, program tersebut juga diadakan bagi tujuan penekanan tentang kepentingan perlindungan harta intelek dan menyemai minat untuk menghasilkan karya yang berkualiti dalam kalangan masyarakat.
“Saya ingin menyeru kepada seluruh hadirin supaya sentiasa menanam minat suka membaca kerana amalan membaca ini merupakan salah satu proses pembelajaran yang harus berterusan sepanjang hayat seterusnya membentuk masyarakat yang berilmu dan seimbang.” Kata Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Kadim Suaidi menerusi ucapan perasmian beliau.
Bersempena dengan Program Cinta ilmu ini juga mempersembahkan kepada kita satu lagi episod pelancaran 5 buku baharu UNIMAS dan Bedah Buku oleh UNIMAS Publisher.
Turut hadir bersama bagi memeriahkan program tersebut adalah pelajar-pelajar daripada SMK Taee, SK Kampung Rembus, SK Koran Serian serta beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.