Events Calendar

Download as iCal file
Martabatkan kebudayaan dan kesenian menerusi penglibatan pelajar secara berterusan
Wednesday 17 February 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 2217
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Pix6.jpeg

pix1Pix4Korea 6Pix2

Kebudayaan dan kesenian memainkan peranan besar untuk melahirkan modal insan yang berhemah dan bertamadun di masa depan. Proses pembelajaran pelajar terutama di peringkat Universiti tidak hanya terfokus kepada ilmu yang diperolehi di dalam kuliah sahaja sebaliknya mereka perlu diberi pendedahan mengenai ilmu kemasyarakatan yang boleh menzahirkan kerjasama dan perpaduan di antara pelajar yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama serta berlainan negara. Menyedari kepentingan tersebut, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menubuhkan Unit Kebudayaan dan Kesenian (UKK) UNIMAS pada tahun 1995 yang berperanan besar untuk memastikan proses pembelajaran, pemeliharaan dan pemuliharaan seni budaya di kalangan warga kampus terus terpelihara. Ikuti temubual media UNIMAS Global bersama Ketua UKK UNIMAS, Encik Noor Azrul Mohd Ariff selanjutnya.

Tujuan penubuhan UKK di UNIMAS?

Noor Azrul : Tahun lepas merupakan ulangtahun ke25 penubuhan UKK di UNIMAS. Idea penubuhan disebabkan ketika tahun 90an tersebut, UNIMAS belum mempunyai sebarang platform yang boleh merapatkan pelajar dari berlainan fakulti. Ini telah membataskan pergerakan dan kemahiran yang ada pada mereka. Oleh itu, saya dapat nyatakan bahawa UKK ditubuhkan kerana kita mahu mengasah kemahiran lain pelajar daripada setakat ilmu diperolehi dari dalam kelas sahaja.

Apakah fungsi Unit Kebudayaan dan Kesenian (UKK) di UNIMAS?

Noor Azrul : Fungsi UKK terlalu luas seperti merancang, mengurus, mengelola aktiviti, memberi tunjuk ajar dan latihan kepada warga Universiti tidak kira kakitangan, pelajar tempatan atau luar negara. Kita juga menyediakan khidmat nasihat dan bantuan sokongan dalam melaksanakan program kebudayaan dan kesenian di Universiti ini.

Jenis perkhidmatan yang disediakan?

Kita menyediakan khidmat nasihat kepakaran seni budaya, khidmat bimbingan, latihan, khidmat sokongan teknikal, kelengkapan pentas, khidmat sokongan busana dan tatarias, khidmat sokongan produksi dan persembahan, khidmat sokongan sosial dan kemasyarakatan. Antara kemudahan yang kita sediakan seperti studio tari, studio rakaman, studio gamelan dan muzik trradisional, studio muzik moden, panggung gemilang, galeri seni, koleksi kostum, koleksi alat muzik tradisional, sistem bunyi dan pencahayaan, pentas mudah alih dan trusses.

Apakah BAYU di dalam UKK?

UKK telah menubuhkan Badan Budaya UNIMAS (BAYU) pada tahun 1995. Badan ini diuruskan sendiri oleh pelajar-pelajar UNIMAS dan sentiasa dibimbing dan diselia sepenuhnya oleh UKK. BAYU merupakan wadah buat pelajar-pelajar UNIMAS bergiat aktif dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian. Di dalamnya terdapat aktiviti seperti tarian, gamelan, 24 seasons drum, vokal (nyanyian), koir, nasyid, dikir barat, teater dan kugiran. Aktiviti ini bukan sahaja untuk mengisi waktu senggang pelajar tetapi juga bagus untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka kelak. Kita tidak mahu melihat pelajar melakukan perkara yang sama seperti habis kuliah balik ke asrama dan sama setiap hari. Kita hendak mereka ‘colourful’ dan apabila dalam proses mencari pekerjaan, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pengalaman dan ilmu tambahan untuk dimajukan kepada majikan.

Apakah ilmu yang diperolehi pelajar dari penglibatan bersama BAYU?

Macam-macam seperti kemahiran berkomunikasi, pengurusan, pemasaran, semangat berpasukan, displin, kreativiti dan sebagainya. Apa yang menariknya, ia terbuka kepada semua pelajar dari berbeza bidang pengajian, agama, bangsa ataupun negara.

Contoh program yang berjaya mengumpulkan penglibatan pelajar?

Program Citrawarna UNIMAS sebagai contoh yang kita lihat telah berjaya mengumpul dan menyatu-padukan pelajar-pelajar UNIMAS. Bermula pada tahun 1998 sehingga sekarang kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh sekalian warga kampus UNIMAS dan masyarakat sekitar. Program berbentuk pertandingan ini mengkehendaki setiap pasukan disertai lebih dari 60 orang melibatkan pelajar baru dan lama dari negara ini termasuk negara antarabangsa mempersembahkan koreografi tari berskala besar yang bersifat ekstravaganza. Kita membiarkan para pelajar sendiri menguruskan persembahan mereka bermula dari pemilihan peserta, koreografi, pengurusan pakaian, latihan dan sebagainya. Jika Citrawarna Malaysia telah menjadi aktiviti pelancongan negara, citrawarna UNIMAS pula membantu meningkatkan visibiliti Universiti ini.

Kejayaan UKK UNIMAS setakat ini?

Alhamdulillah sepanjang 25 tahun ini UKK mempunyai senarai panjang kejayaan buat kebanggaan UNIMAS di peringkat bahagian, negeri, kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Antaranya ialah johan Pertandingan Pantun IPT Kebangsaan 1999, johan Deklamasi Lakon IPT Kebangsaan 2001, johan Teater IPT Kebangsaan 2001, johan Pertandingan Dikir Barat IPT Sarawak 2005, johan Festival Tari IPT Kebangsaan 2001, 2003, 2005, 2015, 2016 dan 2019, johan Festival Tari Bahagian Kuching/Samarahan 2000, 2002, 2005, 2011, 2016 dan 2019, johan Festival Tari Negeri Sarawak 1999, 2000, 2001, 2003, 2005 dan 2012, johan Festival Nasyid IPTA Kebangsaan 2011, johan Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Asli IPT Kebangsaan 2003 dan 2004, johan Pertandingan Lagu Keroncong IPT Kebangsaan 2003, naib johan tarian Melayu Asli Festival Tari Inter-Borneo 2012, tempat ketiga pertandingan tarian Cheonan World Dance Festival 2016 di Korea Selatan serta banyak lagi. Kita juga sering diundang mewakili universiti dan negara untuk mengadakan persembahan di dalam dan di luar negara. Negara-negara yang BAYU pernah mengadakan persembahan ialah Turki, Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam.

Harapan untuk masa hadapan?

Sudah tentu UKK ingin melahirkan lebih banyak kejayaan buat UNIMAS. Kita berharap pandemik Covid-19 ini akan cepat berakhir agar program-program kebudayaan dan kesenian dapat dijalankan seperti biasa. Bagi UKK UNIMAS, penglibatan pelajar dalam aktiviti BAYU memanglah agak sukar untuk dilakukan menerusi dalam talian sahaja sewaktu pandemik ini. Sebagai contoh, dalam latihan tarian ia memerlukan tunjuk ajar secara bersemuka kerana ia melibatkan pergerakan. Walaupun begitu, UKK UNIMAS akan terus bergerak membantu Universiti ini dalam apa juga aktiviti kebudayaan dan kesenian terutama majlis-majlis Universiti. Kita juga berharap pelajar yang pernah dan akan menyertai BAYU akan lahir bukan sahaja sebagai pakar dalam bidang pengajian masing-masing tetapi mempunyai kemahiran insaniah yang kental dan berdisplin seperti yang kita terapkan dalam aktiviti BAYU selama ini.

 
Attachment(s):
 
 
Demo