Events Calendar
Kota Samarahan, 5 Julai 2022 : Fakulti Seni Gunaan dan kreatif (FSGK) UNIMAS telah mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sanjung Inspirasi Sdn. Bhd dan Persatuan Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Sarawak, pada minggu lepas.
Dekan FSGK UNIMAS, Profesor Daya Dr Musdi Haji Shanat yang dihubungi pagi tadi menjelaskan kedua-dua MoU tersebut adalah untuk bekerjasama di dalam pembangunan bakat dalam kalangan belia dan remaja terutama dalam program ‘Sarawak Information and Communication Technology (ICT) and Multimedia Apprentice Raising Talent’ (SMART) atau SMART Incubation Centre.
Beliau berkata, SMART Incubation menyediakan tujuh bidang pengkhususan iaitu fotografi dan videografi, rekabentuk, animasi, penulisan skrip, pengurusan acara, komposisi musik dan ICT.
“ Ini adalah peluang untuk kita di UNIMAS menawarkan kepakaran yang ada dan berkongsi ilmu dengan masyarakat. Kita akan membantu dari segi kepakaran dalam latihan, konsultasi, perkongsian ilmu dan penyediaan pelajar dalam program-program disediakan,” sambungnya lagi.
Menurut Profesor Madya Dr Musdi, kerjasama tersebut bakal memberi impak yang positif di dalam pembangunan bakat dan sumber manusia yang kental dan berdaya saing dalam mendepani cabaran dan permintaan industri di era IR4.0.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulfikri Osman yang hadir menyaksikan pementeraian dan penyerahan MoU memberitahu Smart Incubator telah berjaya melahirkan tujuh peserta di dalam kohort 1 dan 15 peserta telah mendaftar untuk kohort 2.
Menurut beliau, golongan belia harus diberi galakan dan sokongan supaya ia dapat menarik minat mereka seterusnya menjadikan minat tersebut sebagai peluang pekerjaan di masa hadapan.