Events Calendar

Download as iCal file
Isu bunuh diri dan sinar harapan di penghujung jalan
Sunday 19 September 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1658
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
psycon1.jpg

Isu kesihatan mental bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi dengan kehadiran pandemik yang berpanjangan dan seakan berterusan tanpa henti ini menimbulkan keresahan kepada golongan masyarakat yang terkesan. Keperluan adaptasi terhadap perubahan daripada pelbagai aspek akibat daripada pandemik ini menjadi punca yang boleh mengundang tekanan sehingga ada yang memilih jalan keluar singkat dengan membunuh diri.

Bersempena dengan World Suicide Prevention Day 2021 yang disambut pada 10 September setiap tahun, Unit Psikologi dan Kaunseling UNIMAS (PsyCon UNIMAS) telah menganjurkan satu webinar yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang tingkah laku serta langkah-langkah pencegahan kes bunuh diri. Ini sejajar dengan objektif untuk mengurangkan jumlah kes serta percubaan bunuh diri di seluruh dunia.

Webinar yang bertajuk ‘Sinar Harapan di Penghujung Jalan’ tersebut menyaksikan perkongsian daripada panel jemputan yang memiliki pengalaman mendalam dalam bidang psikologi berkenaan tips menjaga kesihatan mental, cara-cara untuk mengesan ciri-ciri tekanan dalam diri sendiri dan orang lain, serta cara-cara mengelakkan atau mengurangkan tekanan. Panel jemputan adalah terdiri daripada Dr Rosliwati Mohd Yusoff, Pengarah Hospital dan Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Sentosa Kuching, dan Dr Nor Mazlina Ghazali, Pensyarah Kanan Program Kaunseling daripada Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, UNIMAS.

Program tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi, yang berkesempatan menyampaikan ucapan tahniah kepada Ketua Pegawai Psikologi, Puan Saptuyah Barahim, dan ahli-ahli Unit PsyCon UNIMAS yang menjayakan webinar tersebut.

Menerusi perbincangan yang diadakan, ternyata tanggungjawab menangani masalah mental dan bunuh diri tidak hanya terletak di tangan individu-individu serta badan-badan tertentu sahaja. Ia seharusnya dipikul dan dimainkan bersama oleh semua pihak, termasuk keluarga, rakan-rakan, majikan, masyarakat sekitar, dan juga pihak media. Antara cara yang boleh dilakukan ialah menerusi komunikasi secara langsung dengan individu yang terkesan, mengehadkan akses mereka kepada objek atau tempat yang berisiko, dan memastikan yang mereka tidak berseorangan. Paling penting, kita dinasihatkan untuk mengelakkan diskriminasi kerana ini mungkin menyebabkan individu-individu yang terkesan berasa malu atau takut untuk mendapatkan bantuan.

Sesi webinar ini telah menarik lebih daripada 1,400 tontonan. Ia turut mengundang beberapa pertanyaan hangat daripada para penonton. Antaranya ialah kesan perkongsian bunuh diri atau cubaan membunuh diri dalam media sosial. Bagi menjawab isu ini, ahli panel berpendapat bahawa tindakan ini berbahaya dan wajar dielakkan kerana ia memberikan impak negatif ke atas individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Secara kesimpulannya, kesihatan mental kita mudah dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Ini termasuklah kata-kata yang kita dengar dan terima daripada orang lain. Setiap individu harus peka dengan sebarang perubahan negatif dalam diri dan harus segera mendapatkan bantuan agar masalah dapat diatasi dan sekaligus mengelakkan daripada menghadapi tekanan yang gagal ditangani.

Terima kasih dan tahniah sekali lagi kepada Unit PsyCon UNIMAS atas penganjuran webinar ini. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. 

psycon2 2

 
Attachment(s):
 
 
Demo