Events Calendar

Download as iCal file
Raya di perantauan demi pengajian
Thursday 13 May 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1312
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
WhatsApp Image 2021-05-12 at 09.51.39 (1).jpeg

Lembaran syawal yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia, pastinya bermakna jika dapat diraikan bersama keluarga tersayang. Namun, dek kerana situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini dan tanggungjawab terhadap pengajian, empat penuntut UNIMAS buat  pertama kalinya tidak dapat berbuat demikian pada tahun ini. Nur Izzatul Khaleeda Kasnan dari Kota Kinabalu Sabah, anak sulung dari lima adik beradik, merasa sebak apabila mengenangkan beliau tidak dapat membantu ibunya mengemas rumah dan menyediakan persiapan raya lain.

“Selalunya sebelum hari raya, saya akan membantu ibu dalam menyediakan barangan adik-adik tetapi tahun ini, saya berada jauh dari mereka. Untuk menghilangkan kerinduan kepada keluarga, saya bercadang untuk memasak nasi kuning dan soto banjar sebagai juadah saya dan rakan-rakan pada pagi raya,” katanya.

Nur Farahin Azmie, dari Mersing, Johor pula bercadang untuk memasak sambal johor dan ayam ungkep, salah satu juadah tradisi keluarga mereka setiap kali bulan Syawal.

“Secara jujur, raya tahun ini pasti terasa kosong tetapi dengan adanya kemudahan teknologi moden, sekurang-kurangnya saya dapat memohon maaf dengan keluarga terutama ibubapa meski secara dalam talian. Tidak apalah kita berkorban sementara ini demi pelajaran dan keluarga juga menyatakan perkara yang sama,” katanya lagi.

Nur Farahain Kamar, dari Lahad Datu Sabah pula memberitahu raya tahun ini beliau merindui ketika membantu ibunya membuat biskut-biskut raya.

“Tetapi tahun ini, saya tidak membuat biskut sebaliknya ibu banyak menghantar kiriman kuih-muih dan biskut untuk dikongsi bersama rakan-rakan. Aktiviti raya tahun ini juga mungkin lebih kepada mengulangkaji pelajaran,” sambungnya.

Manakala Ahmad Hassan Farhan Rohaizi dari Kampung Baru Kuala Lumpur yang juga Presiden Kolej Kasturi UNIMAS berkata, jawatankuasa kolej telah menyediakan aktiviti kecilan seperti dekorasi raya di kolej, bertuntong dan akan memasak juadah hari raya untuk penginap kolej berkenaan.

“ Ia diadakan untuk meraikan penuntut yang tidak kembali ke kampung halaman semasa hari raya. Sekurang-kurangnya terubat rindu mereka kepada keluarga di negeri masing-masing,”katanya.

Bagi Muhammad Danial Radiman dari Kota Samarahan, yang dapat beraya bersama keluarga berkata, beliau akan membawa juadah raya kepada rakan-rakan sekembalinya ke kolej nanti.

"Ramai rakan-rakan kolej bersadu tentang kerinduan mereka kepada keluarga dan saya turut prihatin dengan keadaan mereka. Saya mendoakan situasi pandemik Covid-19 ini cepat berakhir supaya kita semua dapat bersatu dengan keluarga,” katanya lagi.

Sementara itu, seramai 1662 penuntut UNIMAS masih berada di dalam  kampus UNIMAS di mana dari jumlah tersebut, 1335 merupakan penuntut yang berada di dalam kolej-kolej kediaman UNIMAS manakala baki sebanyak 327 penuntut berada di luar kampus.

 

Glosari bahasa Sarawak :

bersadu: mengadu, bercerita ttg sesuatu

 
Attachment(s):
 
 
Demo