Events Calendar

Download as iCal file
Artikel “Sabar tempuhi dugaan” Hasil Karya Puan Samsiah Jayos dalam Suara Sarawak
Thursday 04 February 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 940
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Capture 5.JPG

BELUM reda dengan ujian Covid-19, kini pembukaan tirai awal 2021 kita diuji dengan ujian musibah banjir khususnya di Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu tidak terkecuali Sarawak sehingga menyebabkan perhubungan terputus. Manakala rumah dan bangunan ditenggelami air yang merosakkan harta benda yang menelan kos besar membaik pulih semula kehidupan seperti sebelum ini. Semoga penulisan pada kali ini berkaitan musibah banjir dapat sedikit banyak memberikan panduan dan kata semangat serta motivasi kepada pembaca di luar sana kerana saya sendiri mempunyai pengalaman menghadapi musibah banjir yang melanda Sarawak 15 Januari lalu.

 

Ketahui Risiko Anda

Bagi pembaca di luar sana yang kawasan anda setiap tahun dilanda banjir, cuaca buruk pasti membuat anda gelisah. Anda tidak sendirian. Cuaca buruk dapat mendatangkan bencana, salah satunya banjir. Walaupun banjir cenderung melanda beberapa kawasan tertentu saja, tidak salah anda bersiap-siap menghadapi keadaan darurat ini, kali ini ada tempat yang sebelum ini tidak dilanda banjir, tetapi kali ini terkena banjir.

Sebagai contoh, pada 15 Januari lalu sehingga hari ini, banyak kawasan tidak pernah dilanda banjir sebelumnya.

Kini ia terkena musibah banjir, manakala yang biasa dilanda banjir untuk kali ini lebih teruk terjejas.

Cadangan berikut ini membantu anda mempersiapkan rumah dan keluarga jika banjir terjadi di daerah tempat tinggal anda. Jika anda pindah ke suatu daerah atau ingin membina atau membeli rumah, anda perlu menyelidiki terlebih dahulu. Pastikan anda tahu cara terbaik untuk keluar dan masuk dari lingkungan tempat anda tinggal agar mudah cara untuk keluar dari kawasan yang dilanda banjir.

Selain itu, anda perlu tahu tempat yang lebih tinggi daripada kawasan anda. Adakan perbincangan dengan ahli keluarga tempat bertemu jika terpisah. Sentiasa simpan nombor pejabat atau talian kecemasan berdekatan

tempat anda, agar menghubungi segera apabila anda dan keluarga perlukan pertolongan segera.

Tutup suiz utama apabila berlaku banjir supaya tidak terkena kejutan elektrik. Jika ada memelihara haiwan, pastikan haiwan tersebut juga dapat diselamatkan jika boleh. Manakala, dokumen penting hendaklah dibungkus dengan plastik agar tidak rosak. Yang penting, lakukan langkah sewajarnya secepat mungkin, jangan tunggu air banjir tinggi.

Oleh itu, sentiasa mengambil tahu berita berkaitan keadaan cuaca di kawasan anda dari semasa ke semasa. Ada baiknya, anda mengambil insurans jika mampu. Dari segi keperluan makanan, anda harus menyediakan air yang

cukup untuk setiap orang dan biasanya seorang memerlukan 3 liter air sehari.

Untuk makanan, sediakan makanan yang tahan lama seperti makanan di dalam tin yang tidak perlu dimasak.

Simpan persediaan ini di dalam bekas tahan air. Sediakan juga peralatan dan barang yang penting lain seperti bekalan ubat-ubatan terutama yang memiliki penyakit berisiko seperti darah tinggi, asma dan kencing manis.

Simpan peralatan serba guna yang seperti pisau untuk tujuan kecemasan.

 

Sentiasa Patuh arahan

Pastikan anda dan ahli keluarga patuh arahan yang diberikan. Jangan ambil ringan akan setiap arahan. Elakkan bermain air di kawasan anda yang dilanda banjir terutama bagi kanak-kanak. Ini kerana banyak binatang berbahaya dan berbisa juga berkeliaran seperti kala jengking, ular sawa dan ular tedung serta buaya bagi kawasan yang banyak sungai seperti di Sarawak ini.

Jangan memberikan masalah kepada pihak berkuasa disebabkan kedegilan anda. Tambahan, musibah Covid-19 masih belum tamat, malah semakin menunjukkan peningkatan.

Kasihanilah, mereka yang bertungkus-lumus berkorban membantu rakyat seperti polis bantuan, tentera dan pihak-pihak kesihatan seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Sayu sungguh hati terutama melihat golongan tua dan uzur serta tinggal keseorangan mengharapkan orang sekeliling menolong mereka.

 

Reda Dengan Ketentuan

Pelbagai cara untuk berdepan dengan musibah yang dihadapi. Dari segi kerohanian, kita diingatkan agar perlu menghadapi musibah ini dengan sabar dan reda serta menuruti nasihat serta panduan dikeluarkan pihak berkuasa. Kita juga dituntut bermunajat kepada Tuhan kerana ia membezakan akhlak manusia dalam menghadapi musibah. Ada yang ketika berdepan ujian dan musibah, tidak mendapat apa-apa ganjaran, sebaliknya dosa kerana saling menyalahkan, banyak menghina dan mengeji serta melakukan maksiat.

Berbeza dengan orang beriman, mereka semakin dekat hubungannya dengan Allah SWT. Walaupun kita ditimpa musibah banjir dan ada setengah terpaksa berada penempatan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa kerana keadaan rumah yang masih ditengelami air.

Solat lima waktu yang wajib jangan diabaikan. Semoga ketaatan kita kepada Allah diberi pertolongan untuk memudahkan segala urusan kita. Begitu juga kepada yang beragama lain, lakukan amalan agama masing-masing. Selain itu, jagalah hubungan sesama insan yang mengalami musibah, serta saling membantu.

Kawal perasaan marah, kecewa dan kebimbingan dengan berkongsi perasaan atau mendapatkan pertolongan psikologi sewajarnya dengan orang yang anda percaya.

 

 

 

Cabaran

Bukan mudah mengembalikan kesempurnaan hidup semula seperti sebelum ini. Umpamanya, dari segi kerosakan harta benda seperti peti ais, televisyen, periuk nasi elektrik, mesin basuh, perabot dan almari.

Ini tidak termasuk barang lain seperti laptop dan telefon bimbit. Bayangkan kos yang harus ditanggung. Seolah-olah, baharu pindah rumah yang keperluan rumah terpaksa dibeli semula.

Turut simpati dengan anda yang berpendapatan rendah, yang merupakan bebanan besar, selain cabaran trauma kesan banjir yang perlu ditangani.

 

Dapatkan Kaunseling

Kehidupan pada masa kini semakin mencabar. Cabaran yang datang kini, pelbagai bentuk dan ada sesetengah musibah yang menimpa. Yang mampu diucapkan banyak bersabar, walaupun sabar itu bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Yakinlah setiap kesusahan, Tuhan memberi kemudahan dan kesenangannya.

Oleh itu, hubungi talian Kaunseling4u 010-2882290 Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia berhubung dengan kaunselor anda atau telefon talian kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari. Insya-Allah, masalah emosi sekurang-kurangnya mungkin dapat dibantu dan anda dapat dibimbing secara terancang bagi menghadapi masalah yang tidak terlintas di fikiran anda. Bagi yang bernasib baik dan berkemampuan, berikan bantuan semampunya kepada golongan yang terkesan dan memerlukan.

Ya Allah, Ya Bariq semoga masalah kehidupan kita semua terbantu hendaknya

 
Attachment(s):
 
 
Demo