Events Calendar

Download as iCal file
Artikel Isu Gejala Sosial Remaja semakin membimbangkan": Hasil Karya Puan Samsiah Jayos dalam Suara Sarawak
Friday 15 January 2021, 08:00am - 05:00pm
Hits : 1477
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Capture2.JPG

SEJAK kebelakangan ini,penulis sering dijemput memberi ceramah berhubung isu gejala sosial. Oleh itu, penulis mahu berkongsi pada keluaran kali ini. Mudahan lebih ramai pembaca diluar beroleh manfaat. Usaha memandu generasi terutama generasi muda dengan cara meningkatkan kebolehan dan daya fikiran mereka dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan dilihat masih belum mencapai tahap terbaik seiring kemajuan negara.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) diharapkan melahirkan watak masyarakat Malaysia yang lebih bertanggungjawab hanya terbentuk dan memberi makna apabila orang muda diberi perhatian dan keutamaan dalam pelbagai aspek perancangan kehidupan dan pembangunan mereka kerana mereka adalah pelapis yang mewarisi kepemimpinan serta mendukung wawasan negara.

Golongan Paling Mudah Terpengaruh

Namun, rata-rata aktivis sosial banyak berpandangan semua pihak perlu serius dan fokus terhadap hal perancangan kehidupan dan pembangunan generasi muda hari ini. Namun, kita masih berdepan cabaran dalam bentuk lain yang melanda anak remaja kita. Gejala dan penyakit sosial seperti lumba motosikal haram, basikal lajak, hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah, dan perbuatan yang melanggar tatasusila budaya timur kita sudah pun menular dalam kalangan remaja. Mengetahui masalah sosial sahaja tidak mencukupi, bahkan tidak berguna sekiranya ia tidak disusuli dengan cara penyelesaian dan pencegahan. Hakikatnya, setiap individu ada pilihan dan kita perlu membuat pilihan terbaik untuk diri sendiri dan keluarga dengan membina benteng diri dan menjauhi daripada pengaruh serta unsur negatif dan bahaya.

Remaja ialah golongan yang mudah dipengaruhi oleh unsur negatif kerana sifat semula jadi remaja untuk mencari identiti sendiri, mudah terikut dengan gaya cara budaya moden, sentiasa diselubungi dengan sifat ingin tahu, ingin mencuba dan berani menghadapi risiko.

Gilap Potensi Remaja

Bagi tujuan ini, Dialog Profesion Kerja Sosial bertajuk Kerja Sosial: Realiti atau Fantasi anjuran Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia pada 31 Oktober 2019 yang menghimpunkan pekerja sosial dan sukarelawan sosial di lapangan diharap akan melahirkan modul pembangunan remaja.

Matlamatnya memberi peluang dan dorongan kepada remaja membangunkan sepenuhnya potensi diri daripada perspektif mental, fizikal, sosial dan kerohanian. Alam remaja adalah tahap kritikal dalam proses perkembangan individu yang penuh dengan pelbagai dugaan dan pancaroba. Ini masa membentuk sifat kendiri remaja dan menentukan watak dan cara gaya hidupnya berasaskan didikan dan jagaan ibu bapa, pengalaman dan suasana persekitaran.

Andainya remaja tidak kuat dalam pegangan nilai murni dan agama serta kurangnya bimbingan keluarga dan guru, mereka pasti mudah hanyut dengan penyakit sosial.

Isu Negara yang Membimbangkan

Penulis tertarik memasukkan informasi daripada Amini Amir yang menyatakan gejala sosial sudah menjadi semacam satu fenomena dalam dunia moden.

Cendiakawan Barat sudah mula membezakan masalah sosial zaman kontemporari berbanding dengan zaman sebelumnya.

Bahkan, sudah ada kursus di universiti Barat yang bertajuk Masalah Sosial Kontemporari.

Ini menunjukkan terdapat peralihan dan perubahan dalam masalah yang berkaitan dengan gejala sosial sama ada bentuknya, trend, punca ataupun implikasinya kepada masyarakat dan negara.

Gejala sosial pula menjadi semakin berkembang ruang lingkupnya.

Gejala sosial menjadi semakin rencam dan pelbagai. Ia seperti duri dalam daging bagi masyarakat.

Kita bersedih kerana ia banyak melibatkan generasi muda kita yang merupakan bakal pewaris kepemimpinan negara.

Pengaruh globalisasi negatif dan modenisme memungkinkan masalah dan gejala sosial menjadi semakin kritikal ditambah dengan faktor sikap, pembudayaan budaya berhibur yang menggalak percampuran bebas yang keterlaluan,

Begitu juga dengan kurangnya penekanan kepada aspek keutuhan kecemerlangan sahsiah dan kerohanian, kekeliruan pemahaman dalam aspek nilai, kerendahan jati diri, kurang semangat patriotisme, kurangnya langkah pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang masih longgar dan kurangnya kesedaran diri, pengabaian tanggungjawab ibu bapa serta pengaruh rakan adalah antara faktor gejala sosial semakin membimbangkan.

Semua Pihak Harus Berganding Bahu

Dalam usaha kita mencari punca dan sebab berlakunya gejala sosial, beberapa pihak disalahkan, antaranya ibu bapa, sekolah, media atau remaja sendiri.

Banyak isu dan masalah dihadapi remaja hari ini mempunyai kaitan pengaruh dalaman iaitu keluarga itu sendiri dan pengaruh luaran.

Anak remaja hari ini perlu dibimbing dengan pendekatan baharu bagi membolehkan mereka memahami diri sendiri, membentuk watak, keyakinan diri dan benteng diri untuk menjauhi pengaruh dan penyakit sosial.

Semua remaja diseru membuat pilihan bijak dan menjadi contoh atau role model di antara satu sama lain sebagai rakan sebaya.

Sudah tiba masa bagi setiap masyarakat bekerjasama berganding bahu dalam mencari strategi paling berkesan untuk penyelesaian dan pencegahan gejala sosial.

Cabaran Kehidupan

Kehidupan ini pasti banyak ranjau dan cabarannya. Tidak terkecuali golongan remaja. Dalam tempoh ini mereka bermain dan bergolak dengan emosi dan mula memberontak terhadap isu tertentu.

Perkara ini dapat membawa kepada tekanan perasaan sekali gus menyebabkan masalah kesihatan mental mereka juga terjejas.

Buat golongan ini, hadapi cabaran kehidupan dengan penuh ketenangan, ikut ajaran agama secara konsisten, perbanyakan doa serta tawakal.

Jom berkongsi masalah dan hubungi talian Kaunseling4u 010-2882290 Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia berhubung dengan kaunselor anda atau telefon talian kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari.

Insya-Allah masalah anda mungkin dapat dirungkai. Ya Allah, Ya Bariq

 
Attachment(s):
 
 
Demo