Events Calendar

Download as iCal file
Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-24, 3,701 Graduan Terima Ijazah
Thursday 14 October 2021, 03:00pm - 05:00pm
Hits : 1540
 
by This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Graduan.jpg

picPro Canselor Datuk Patinggi Abg Jo

KOTA SAMARAHAN, 14 Oktober 2021: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini melakar sejarah baharu dengan Majlis Konvokesyen ke-24 yang julung kali diadakan secara maya dan disiarkan secara eksklusif di laman Facebook rasmi dan YouTube UNIMAS.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 3,701 orang graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjan,a dan Ijazah Sarjana Muda. Seramai 3,359 orang adalah graduan Prasiswazah manakala 342 orang adalah graduan Siswazah.

Perisytiharan Majlis Konvokesyen ke-24 ini telah disempurnakan oleh Canselor UNIMAS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Sidang ini juga menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kategori Bumiputera yang diterima oleh Mohd Aidid bin Aidi dari Program Kewangan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan; Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kategori Bukan Bumiputera yang diterima oleh Chong Xin Ying dari Program Kejururawatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan; Anugerah Canselor yang diterima oleh Wan Normardhiah binti Wan ‘Aizuddin dari Program Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan di Fakulti Kejuruteraan; dan Anugerah Pro Canselor  yang diterima oleh Chelsea anak Michcal dari Program Kajian Antarabangsa di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.  Graduan-graduan ini dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dalam akademik dan ko-kurikulum sepanjang tempoh pengajian di universiti ini.

Menariknya, konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai lapan (8) orang graduan kohort pertama dari Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina di Fakulti Alam Bina bergraduasi.

Satu perkhabaran gembira juga diterima dari London semalam (13 Oktober 2021) apabila buat pertama kalinya Times Higher Education World University Ranking (THE) berdasarkan Subjek 2022 telah merekodkan subjek Sains Sosial antara 601 terbaik dunia. THE turut mengumumkan tiga (3) lagi subjek berjaya tersenarai iaitu subjek Ekonomi dan Perniagaan di tangga ke-601 terbaik dunia, subjek Sains Hayat di tangga ke-801 terbaik dunia, manakala subjek Kejuruteraan dan Teknologi di tangga ke-1001 terbaik dunia.

Pro Canselor UNIMAS, YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dalam ucapannya berkata, peranan dan sumbangan UNIMAS dalam ekonomi digital Sarawak amat diperlukan. UNIMAS telah diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan – Sarawak Centre of Excellence” (CoE) – yang bertindak sebagai nadi utama bagi membolehkan aktiviti pembangunan penyelidikan dan teknologi dilaksanakan secara holistik dalam usaha menyokong sektor Ekonomi Digital.

“UNIMAS sangat aktif dalam usaha mendidik dan memupuk minat dan kemahiran anak-anak muda di Sarawak dalam menceburi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Usaha-usaha UNIMAS ini amat selari dengan keperluan negeri Sarawak sebagai sebuah negeri yang mengaplikasikan digital teknologi,” katanya.

Sementara itu, YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang yang merangkap sebagai Pro Canselor UNIMAS berkata, UNIMAS  perlu memainkan peranan besar bukan sahaja dalam membangunkan modal insan, tetapi yang lebih penting adalah dapat melahirkan modal insan kelas pertama yang berkebolehan dalam memacu pembangunan komuniti.

“Saya menyarankan agar UNIMAS lebih agresif dan berpandangan jauh dalam membangunkan kurikulum baharu, yang dapat memenuhi keperluan industri serta relevan dalam usaha membangunkan masyarakat,” ujar beliau.

Manakala Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapannya menyatakan bahawa UNIMAS telah mengorak langkah lebih awal dalam transformasi pendidikan dengan memperkenalkan konsep pembelajaran teradun yang menggabungkan sistem pembelajaran dalam talian dengan pembelajaran secara bersemuka.

“Kita amat berbangga kerana pensyarah-pensyarah UNIMAS telah didedahkan dengan integrasi teknologi dalam pengajaran sebelum penularan wabak COVID-19 lagi. Ini memberikan kita pengalaman dan kapasiti untuk menjalankan sistem pembelajaran dalam talian sepenuhnya sepanjang waktu pendemik ini,” katanya.

Tambahnya lagi, “UNIMAS sentiasa prihatin terhadap pelajar yang mengalami kesukaran menjalani pembelajaran dalam talian. Justeru, beberapa strategi telah dirangka termasuklah membantu para pelajar dari segi bantuan kewangan dan pemberian komputer riba serta pelan data Internet untuk tempoh tiga bulan bagi golongan kurang berkemampuan melalui Skim UNIMAS Prihatin.”

Dalam pada itu, YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dan YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang turut merakamkan penghargaan kepada UNIMAS kerana membantu kerajaan dalam Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyaksikan keupayaan UNIMAS sebagai sebuah Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) yang telah berjaya memberikan lebih 107,406 dos vaksin kepada masyarakat.

 
Attachment(s):
 
 
Demo